Monday, June 28, 2010

Faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran bahasa

5.4.1 Rakan sebaya
Masyarakat selalu menyalahkan pengaruh rakan sebaya apabila berlakunya sesuatu masalah yang melibatkan remaja. Sebenarnya, apa yang masyarakat tidak sedar adalah, ia adalah kehendak seseorang itu sendiri sama ada ingin dirinya dipengaruhi, ataupun tidak. Bagi faktor rakan sebaya, betapa mudahnya seseorang remaja mempengaruhi remaja yang lain kerana mereka sendiri tidak pasti akan identity mereka sendiri. Maka, mereka lebih mudah menerima dan mengulang kembali apa yang dilakukan oleh kebanyakan rakan mereka. Ingin mengikut arus, ‘trend’. Supaya tidak dikatakan kuno atau berada di zaman ais.

5.4.2 Masa
Ternyata rata-rata pencemaran bahasa berlaku di alam siber adalah gara-gara penulisnya ingin menjimatkan masa. Pastinya kerana telah terbiasa dengan cara komunikasi dalam telefon bimbit, melalui sistem pesanan ringkas. Walau bagaimanapun, mesej di telefon adalah berlainan dengan mesej di alam siber. Ini kerana, mesej telefon cuma akan dibaca dan difahami oleh penerimanya sahaja.
Lain pula dengan perbualan di Internet yang pastinya akan dilihat dan dibaca oleh rakan-rakan yang lain. Dan yang lebih teruk, apabila dibaca oleh generasi yang sedang belajar seperti adik-adik yang bersekolah rendah. Kadang-kadang, kekeliruan boleh berlaku apabila terdapat pelbagai versi ejaan perkataan.

5.4.3 Pengetahuan Bahasa yang lemah
Kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa rojak, SMS, bahasa lucah dan sebagainya adalah mereka yang mempunyai pengetahuan cetek dan kurang teliti dan peka dengan bahasa yang digunakan dalam berkomunikasi di alam siber.
Mereka ini selalunya mempunyai tahap akademik yang rendah dan tahap pembacaan mereka juga lemah. Selalunya mereka yang menulis di alam siber ini hanya berdasarkan penggunaan bahasa harian mereka terutamanya bahasa basahan iaitu bahasa pasar.
Hanya ahli akademik atau golongan professional sahaja yang menggunakan bahasa yang betul dalam menulis bahan ilmiah dan rujukan. Ini kerana mereka sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pendidik harus menggunakan bahasa yang betul agar generasi muda tidak memandang rendah kepada mereka.


5.4.4 Sikap Tidak Endah

Sikap tidak endah adalah lebih membahayakan kepada masa depan bahasa kita. Apabila sesuatu yang telah diketahui, diabaikan. Contohnya penggunaan perkataan infotainment dan sure heboh oleh stesen televisyen.
Perkataan information dan entertainment yang diubah suai menjadi infotainment dan perkataan sure (bahasa Inggeris) dan heboh yang digabungkan menjadi satu istilah baru. Apa yang lebih menyedihkan, ia diwar-warkan ke serata negara seolah-olah ia satu kemegahan yang patut dirasai oleh setiap rakyat Malaysia.
Namun begitu, tindakan yang diambil oleh pihak terbabit untuk membetulkan kesilapan ini, patut dipuji seperti Kempen Pantau Tegur Bahasa yang dikelolakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana, bantuan rakyat diminta melaporkan kesalahan penggunaan bahasa yang salah pada papan-papan iklan dan tempat awam. Ganjaran diberikan menikut jumlah pantauan yang dilakukan.




5.4.5 Tiada Tindakan atau Denda
Dari segi penggunaan bahasa dalam media siber, sememangnya tiada undang-undang khusus yang boleh digunakan dan dikuatkuasakan. Hal ini perlulah diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan. Walaupun tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap “pesalah bahasa”, sekurang-kurangnya “pesalah bahasa” itu boleh dipantau dan diberikan nasihat yang sewajarnya, terutamanya yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan norma-norma ketimuran, seperti penggunaan bahasa kesat dan kasar untuk mengatakan pihak-pihak tertentu, baik dalam blog mahupun laman sosial.
Mereka perlu sedar bahawa kebebasan itu bukanla kebebasan mutlak. Pengguna media siber juga terikat dengan peraturan atau akta tertentu, seperti Akta Multimedia, ISA dan OSA.

5.4.6 Perang Siber

Bagi Imlan Adabi (2010) dalam surat khabar Berita harian, isu media baru sentiasa lunak diperkatakan. Penulis blog dan pengendali laman web kerap menjadi tumpuan kerana keteledoran mereka bertindak melanggar hukum dan susila masyarakat. Artis di negara kita juga tidak dapat mengelak diri daripada perang siber yang dapat mengancam masa depan mereka.

Ini terjadi akibat penyebaran fitnah, memaki individu tertentu dan hasutan kepada masyarakat menerusi laman sosial mahupun di blog. Terbaru, seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara.

Selain itu, seorang belia berusia 29 tahun ditahan di Kelantan selepas tulisan di dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri. Pada Ogos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara sebagai satu penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan untuk menghasut orang ramai supaya membenci polis.

Bagi sesetengah individu, kehadiran media siber boleh dianggap “bagai si bisu yang mendapat suara”. Mereka menulis apa-apa sahaja dan mengekspresikan segala cerita dan rasa dalam diri tanpa berfikir panjang.

5.4.7 Persekitaran

Sebenarnya, faktor persekitaran merupakan satu faktor yang membuatkan umum, melakukan pencemaran tanpa mereka sedari. Ini kerana, kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat sendiri. Seperti yang kita tahu, Malaysia terbentuk daripada struktur kaum yang berbilang. Tiga kaum utama yang mendominasi adalah Melayu, Cina dan India.
Walaupun cuma tiga kaum yang terbesar, namun, bayangkan apa yang mungkin berlaku apabila tiga jenis bahasa yang berlainan dicampuradukkan? Ibaratnya seperti, mencampurkan asam pedas, sup dan kari dalam satu kawah yang sama. Akibatnya? Teruk. Walau bagaimanapun, tidak seharusnya mana-mana pihak menyalahkan sesama sendiri atau menuding jari ke atas satu sama lain. Ini kerana hidup bermasyarakat yang telah dibina sejak wujudnya negara Malaysia ini bermaksud masyarakat perlu saling bertolak ansur dan berkerjasama. Penggunaan bahasa, atau perkataan malah istilah daripada bahasa kaum lain adalah tidak salah sama sekali, malah ia mampu melambangkan persepaduan dan kesepakatan. Cuma, biarlah berpada-pada dan kena pada tempatnya.

7 comments:

SUXX said...

wow, berpinar mata nak habiskan ni. heh

Unknown said...

terima kasih atas maklumat anda... amat membantu.. =)

Unknown said...

Terima kasih. sangat membantu.

Unknown said...

terima kasih artikel ini banyak membantu.

Sebuah Ikatan said...

جزاك الله خير

Unknown said...

apakah sebab-sebab pengunaan bahasa ciptaanbaru generasi sekarang di facebook berlaku?

Unknown said...

terima kasih untuk maklumat ini.sangat membantu saya..

Post a Comment