Monday, June 28, 2010

Kesimpulan

Berdasarkan kajian terhadap pencemaran bahasa yang berlaku di alam siber, pelbagai isu telah dibincangkan dalam kajian ini. Antaranya ialah jenis-jenis pencemaran bahasa yang sering dilakukan di alam siber dan faktor-faktor yang mendorong berlakunya pencemaran bahasa. Pelbagai faktor telah dikenal pasti hasil daripada kajian ini malah faktor terbesar juga turut didapati dengan mengedarkan soal selidik kepada respondan yang teridiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UKM sendiri. Pemerhatian ke atas laman-laman sosial, web dan blog juga turut dilakukan untuk memantau sejauh mana tahap pencemaran bahasa ini semakin menular di alam siber. Selain itu, kesan-kesan pencemaran bahasa turut dibincangkan. Malah, pelbagai cadangan dan cara mengatasi turut menjadi salah satu pengisian dalam kajian ini. Dengan berbagai-bagai isu yang telah dibincangkan, dapat disimpulkan bahawa pencamaran bahasa yang semakin meningkat dari hari ke hari di alam siber haruslah dibendung secepat mungkin kerana tidak mustahil sekiranya keunikan bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu akan pupus di telan dek zaman. Kesedaran dan tanggungjawab itu perlu dalam memartabatkan bahasa kita agar sentiasa utuh dan mendapat tempat di mata dunia.

Cadangan

7.1 Pemantauan pihak tertentu
Pencemaran bahasa yang berlaku di negara kita haruslah ditangani dengan segera jika ingin memakmurkan bahasa Melayu yang kita cintai ini. Pemantauan secara kerap haruslah diambil dari semasa ke semasa untuk memastikan tiadanya kesalahan penggunaan bahasa berlaku. Pihak-pihak berwajib haruslah memainkan peranan yang penting dalam memantau masalah ini bukan sahaja di alam siber malah di mana-mana sahaja pencemaran bahasa yang berlaku. Denda dan teguran daripada pihak berkuasa adalah perlu bagi mengelakkan pihak tertentu atau individu daripada melakukan kesalahan bahasa dengan bebas dan sewenag-wenangnya. Dengan itu, setiap individu pastinya akan lebih berhati-hati dan sentiasa peka dalam penggunaan bahasa yang betul.

7.2 Seminar dan bengkel
Demi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat kepada pentingnya penggunaan bahasa yang betul, pihak-pihak yang berkuatkuasa haruslah sentiasa menganjurkan dan mengadakan seminar-seminar, bengkel, ceramah dan forum kepada masyarakat dan pelajar khususnya agar kesedaran dan tanggungjawab sentiasa tertanam pada setiap individu masyarakat. Seminar ataupun bengkel-bengkel haruslah mengandungi pengisisan di mana masyarakat didedahkan dengan contoh-contoh dan jenis-jenis kesalahan bahasa yang sering dilakukan dengan harapan agar kesalahan-kesalahan bahasa tersebut dapat dielakkan. Aktiviti-aktiviti seperti ini pastinya akan membuka mata dan ruang minda masyarakat untuk lebih mencintai bahasa kita dan menghargainya.

7.3 Fikir sebelum tulis
Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan pihak-pihak berwajib adalah perlu dan penting dalam menangani masalah pencemaran bahasa yang semakin menular di alam siber. Namun begitu, tanpa penglibatan penuh dan sokongan padu daripada setiap individu masyarakat pastinya usaha yang dijalankan oleh pihak tertentu adalah sia-sia. Oleh itu, setiap individu juga berperanan penting dalam menangani masalah ini. Sebagai individu yang turut menggunakan bahasa Melayu adalah tidak wajar sekiranya meletakkan tanggungjawab di bahu sebelah pihak sahaja dan menonton tanpa berbuat apa-apa. Adalah tanggungjawab seseorang individu itu untuk memastikan penggunaan bahasa yang betul dan tiada kesalahan bahasa yang dilakukan. Penting untuk berfikir dahulu sebelum menulis sesuatu ayat atau perkataan. Hal ini dapat membantu dalam mengurangkan penggunaan bahasa yang salah dan turut memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat amnya.

Soal selidik

Dalam kajian ini, kaedah soal selidik telah digunakan. Terdapat dua puluh borang soal selidik yang telah diedarkan kepada mahasiswa-mahasiswi mengikut tiga buah fakulti iaitu Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Sains dan Teknologi dan Fakulti Kejuteraan Alam Bina. Respon yang sangat memberangsangkan datang daripada mahasiswa-mahasiswi tersebut apabila menjawab soal selidik yang diberikan.
Bagi soalan pertama, berapa kerapkah penggunaan internet dalam sehari?. Hampir 65% mahasiswa-mahasiswi menjawab 8 jam sehari dan 25% menjawab sepanjang hari. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi di Universiti Kebangsaan Malaysia kerap melayari internet dalam sehari ditambah pula dengan perkhidmatan WIFI yang percuma dan ada yang berbayar. Mahasiswa-mahasiswi boleh mengakses internet dalam bilik mereka sendiri. Oleh itu, penggunaan internet di kalangan mahasiswa-mahasiswi makin meningkat dari tahun ke tahun.
Seterusnya bagi soalan kedua, apakah jenis laman sesawang yang sering dilayari di internet?. Sebanyak 50% menjawab melayari laman sosial seperti facebook, Friendster, Hi5, Tagged dan sebagainya. Manakala sebanyak 45% menjawab melayari e-mail. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi banyak menghabiskan masa mereka dengan melayari laman sosial. Justeru itu, mahasiswa-mahasiswi banyak menggunakan internet untuk melayari laman sosial daripada mencari bahan ilmiah.
Bagi soalan ketiga pula, pernakah anda menggunakan ayat-ayat atau perkataan seperti berikut semasa melayari internet. Hasil soal selidik menunjukkan hampir 80% mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa sms semasa melayari internet dan 60 % mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa rojak semasa melayari internet. Hal ini menunjukkan bahawa, kebanyakan mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa sms semasa melayari laman sosial kerana menjimatkan masa mereka. Oleh itu, bahasa boleh menjadi rosak jika salah penggunaanya.
Seterusnya bagi soalan keempat, laman sosial penyumbang terbesar kepada pencemaran bahasa. Sebanyak 65 % setuju dan 25% sangat setuju laman sosial penyumbang terbesar kepada pencemaran bahasa. Hal ini menunjukkan bahawa pencemaran bahasa banyak terjadi di laman sosial. Justeru itu, mahasiswa-mahasiswi perlu peka dengan masalah pencemaran bahasa di alam siber ini.
Bagi soalan kelima, rakan sebaya sebagai punca utama penyumbang utama kepada pencemaran bahasa. Sebanyak 45% bersetuju dan 35% tidak pasti mengenai rakan sebaya sebagai punca utama penyumbang utama kepada pencemaran bahasa. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi banyak terpengaruh dengan rakan sebaya semasa menulis di dalam laman sosial. Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi perlu mempunyai pendirian dalam diri mereka.
Seterusnya bagi soalan keenam, menjimatkan masa sering menjadi alasan bagi pengguna untuk menulis bahasa rojak dan bahasa sms di alam siber. Sebanyak 50% sangat setuju dan 50% bersetuju menjimatkan masa sering menjadi alasan bagi pengguna untuk menulis bahasa rojak dan bahasa sms di alam siber. Hal ini menunjukkan bahawa sebanyak 100% mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa rojak dan bahasa sms kerana menjimatkan masa. Oleh itu, inilah punca utama mengapa berlakunya pencemaran bahasa di alam siber.
Bagi soalan ketujuh, kurangnya penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar UKM di alam siber. Sebanyak 40% bersetuju manakala 25% tidak pasti iaitu kurangnya penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar UKM di alam siber. Hal ini menunjukkan bahawa kurangnya penguasaan bahasa juga menjadi faktor kepada berlakunya pencemaran bahasa di alam siber.
Bagi soalan kelapan, sikap pelajar yang tidak ambil peduli dalam penggunaan bahasa asalkan mesej dapat disampaikan dengan jelas. Sebanyak 65% sangat setuju dan 35% besetuju bahawa sikap pelajar yang tidak ambil peduli dalam penggunaan bahasa asalkan mesej dapat disampaikan dengan jelas. Tuntasnya, mahasiswa-mahasiswi sepatutnya mengubah sikap tidak ambil peduli tersebut kepada sikap bertanggungjawab terhadap bahasa ibunda kita.
Seterusnya bagi soalan kesembilan, pengguna tidak mengendahkan pencemaran bahasa kerana kurangnya pengetahuan terhadap undang-undang yang telah dikuatkuasakan. Sebanyak 50% bersetuju manakala 25% tidak pasti iaitu pengguna tidak mengendahkan pencemaran bahasa kerana kurangnya pengetahuan terhadap undang- undang yang telah dikuatkuasakan. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi mengetahui mengenai pencemaran bahasa di alam siber tetapi mereka tidak ambil peduli mengenai masalah tersebut. Justeru itu, mahasiswa mahasiswa perlu menjadi contoh tauladan kepada masyarakat luar kerana mereka adalah orang yang berpelajaran.
Akhirnya, bagi soalan kesepuluh, alam siber di salahgunakan demi kepentingan peribadi. Sebanyak 45% tidak pasti dan 20% bersetuju manakala 20% tidak setuju alam siber disalahgunakan demi kepentingan peribadi. Impaknya di sini, alam siber bukanlah tempat untuk digunakan bagi tujuan peribadi bagi sesetengah pihak.

Kesan-kesan pencemaran bahasa di alam siber

5.5.1 Bahasa menjadi rosak
Setelah membincangkan mengenai faktor- faktor pencemaran bahasa di alam siber, kini diteruskan lagi perbincangan mengenai kesan- kesan pencemaran bahasa di alam siber. Terdapat lima kesan yang utama. Kesan yang pertama ialah bahasa menjadi rosak. Bahasa menjadi rosak apabila bahasa tersebut disalah gunakan. Sebagai contoh penggunaan bahasa sms dan bahasa rojak digunakan dalam laman sosial. Akibatnya, bahasa menjadi rosak dan menjatuhkan martabat bahasa itu sendiri.Selain itu, bahasa melambangkan sesuatu bangsa. Jika rosak sesebuah bahasa maka akan rosaklah bangsa tersebut. Akhirnya bangsa tersebut akan hilang identitinya sendiri. Oleh yang demikian, mahasiswa-mahasiswi perlu cakna dalam menggunakan bahasa di laman sosial.
5.5.2 Kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang
Disamping itu, kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang merupakan kesan kepada pencemaran bahasa di alam siber. Apabila bahasa tercemar maka ini akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi akan datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut. Generasi akan datang akan terkeliru untuk memperaktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian. Selain itu, jika generasi akan datang mengikut trend yang ada pada masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut. Impaknya disini, mahasiswa-mahasiswi adalah agen yang perlu memperbaikki pencemaran bahasa di alam siber ini.
5.5.3 Persepsi buruk masyarakat luar terhadap pencemaran bahasa.
Selain itu, antara lain kesan pencemaran bahasa di alam siber ialah akan timbul persepsi buruk masyarakat luar terhadap pencemaran bahasa. Persepsi buruk ini akan timbul kepada pelajar ataupun pelancong yang mempelajari bahasa tersebut. Mereka akan mempertikaikan mengapa bahasa yang digunakan oleh penduduk negara tersebut di laman sosial tidak sama seperti yang mereka pelajari. Impaknya, akan menimbulkan persepsi buruk terhadap bahasa tersebut. Mereka akan menceritakan persepsi buruk tersebut kepada rakan- rakan dan ahli keluarga mereka. Tuntasnya, apabila pencemaran bahasa berlaku mereka tidak lagi menimbulkan minat untuk belajar bahasa tersebut. Oleh yang demikian, bahasa juga akan mencerminkan sesebuah negara.

5.5.4 Gejala sosial semakin berleluasa
Dengan meningkatnya bahasa kasar dan lucah di alam siber, remaja akan terpengaruh dengan perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang sering digunakan di alam siber. Remaja dan seseorang individu cenderung untuk menggunakan bahasa kasar dan lucah tersebut bersama rakan-rakan yang lain dalam perbualan seharian. Malah sesuatu perkataan atau ayat tersebut akan menjadi ‘trend’ dalam perbualan seharian remaja. Yang lebih mendukacitakan apabila ayat-ayat kasar dan berbaur lucah tersebut turut dilemparkan kepada ibu bapa sendiri. Ini secara tidak langsung melahirkan remaja yang bersikap kurang ajar dan tidak menghormati ibu bapa. Apa yang lebih mengejutkan ialah budak-budak yang masih lagi bersekolah rendah turut biasa untuk menggunakan ayat-ayat kasar atau perkataan berunsur lucah tersebut. Hal ini memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan dan perkembangan minda kanak-kanak. Jika hal ini tidak dibendung, adalah tidak menghairankan jika kes gejala sosial juga turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang belum lagi menginjak remaja.

5.5.5 Mutu kualiti bahasa menurun dalam kalangan pelajar
Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung dengan meluas, lama –kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut. Pastinya pelajar yang sering disogok oleh perkataan dan istilah-istilah yang muncul setiap hari akan keliru dengan penggunaan bahasa yang betul. Para pelajar akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan dalam tugasan penulisan di sekolah. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kualiti penulisan di sekolah semakin menurun malah pengetahuan terhadap bahasa kita sendiri iaitu Bahasa Melayu akan semakin jauh daripada pelajar. Dengan demikian, mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan semakin menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi tidak mengenal apa itu pantun dan syair.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran bahasa

5.4.1 Rakan sebaya
Masyarakat selalu menyalahkan pengaruh rakan sebaya apabila berlakunya sesuatu masalah yang melibatkan remaja. Sebenarnya, apa yang masyarakat tidak sedar adalah, ia adalah kehendak seseorang itu sendiri sama ada ingin dirinya dipengaruhi, ataupun tidak. Bagi faktor rakan sebaya, betapa mudahnya seseorang remaja mempengaruhi remaja yang lain kerana mereka sendiri tidak pasti akan identity mereka sendiri. Maka, mereka lebih mudah menerima dan mengulang kembali apa yang dilakukan oleh kebanyakan rakan mereka. Ingin mengikut arus, ‘trend’. Supaya tidak dikatakan kuno atau berada di zaman ais.

5.4.2 Masa
Ternyata rata-rata pencemaran bahasa berlaku di alam siber adalah gara-gara penulisnya ingin menjimatkan masa. Pastinya kerana telah terbiasa dengan cara komunikasi dalam telefon bimbit, melalui sistem pesanan ringkas. Walau bagaimanapun, mesej di telefon adalah berlainan dengan mesej di alam siber. Ini kerana, mesej telefon cuma akan dibaca dan difahami oleh penerimanya sahaja.
Lain pula dengan perbualan di Internet yang pastinya akan dilihat dan dibaca oleh rakan-rakan yang lain. Dan yang lebih teruk, apabila dibaca oleh generasi yang sedang belajar seperti adik-adik yang bersekolah rendah. Kadang-kadang, kekeliruan boleh berlaku apabila terdapat pelbagai versi ejaan perkataan.

5.4.3 Pengetahuan Bahasa yang lemah
Kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa rojak, SMS, bahasa lucah dan sebagainya adalah mereka yang mempunyai pengetahuan cetek dan kurang teliti dan peka dengan bahasa yang digunakan dalam berkomunikasi di alam siber.
Mereka ini selalunya mempunyai tahap akademik yang rendah dan tahap pembacaan mereka juga lemah. Selalunya mereka yang menulis di alam siber ini hanya berdasarkan penggunaan bahasa harian mereka terutamanya bahasa basahan iaitu bahasa pasar.
Hanya ahli akademik atau golongan professional sahaja yang menggunakan bahasa yang betul dalam menulis bahan ilmiah dan rujukan. Ini kerana mereka sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pendidik harus menggunakan bahasa yang betul agar generasi muda tidak memandang rendah kepada mereka.


5.4.4 Sikap Tidak Endah

Sikap tidak endah adalah lebih membahayakan kepada masa depan bahasa kita. Apabila sesuatu yang telah diketahui, diabaikan. Contohnya penggunaan perkataan infotainment dan sure heboh oleh stesen televisyen.
Perkataan information dan entertainment yang diubah suai menjadi infotainment dan perkataan sure (bahasa Inggeris) dan heboh yang digabungkan menjadi satu istilah baru. Apa yang lebih menyedihkan, ia diwar-warkan ke serata negara seolah-olah ia satu kemegahan yang patut dirasai oleh setiap rakyat Malaysia.
Namun begitu, tindakan yang diambil oleh pihak terbabit untuk membetulkan kesilapan ini, patut dipuji seperti Kempen Pantau Tegur Bahasa yang dikelolakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana, bantuan rakyat diminta melaporkan kesalahan penggunaan bahasa yang salah pada papan-papan iklan dan tempat awam. Ganjaran diberikan menikut jumlah pantauan yang dilakukan.




5.4.5 Tiada Tindakan atau Denda
Dari segi penggunaan bahasa dalam media siber, sememangnya tiada undang-undang khusus yang boleh digunakan dan dikuatkuasakan. Hal ini perlulah diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan. Walaupun tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap “pesalah bahasa”, sekurang-kurangnya “pesalah bahasa” itu boleh dipantau dan diberikan nasihat yang sewajarnya, terutamanya yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan norma-norma ketimuran, seperti penggunaan bahasa kesat dan kasar untuk mengatakan pihak-pihak tertentu, baik dalam blog mahupun laman sosial.
Mereka perlu sedar bahawa kebebasan itu bukanla kebebasan mutlak. Pengguna media siber juga terikat dengan peraturan atau akta tertentu, seperti Akta Multimedia, ISA dan OSA.

5.4.6 Perang Siber

Bagi Imlan Adabi (2010) dalam surat khabar Berita harian, isu media baru sentiasa lunak diperkatakan. Penulis blog dan pengendali laman web kerap menjadi tumpuan kerana keteledoran mereka bertindak melanggar hukum dan susila masyarakat. Artis di negara kita juga tidak dapat mengelak diri daripada perang siber yang dapat mengancam masa depan mereka.

Ini terjadi akibat penyebaran fitnah, memaki individu tertentu dan hasutan kepada masyarakat menerusi laman sosial mahupun di blog. Terbaru, seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara.

Selain itu, seorang belia berusia 29 tahun ditahan di Kelantan selepas tulisan di dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri. Pada Ogos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara sebagai satu penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan untuk menghasut orang ramai supaya membenci polis.

Bagi sesetengah individu, kehadiran media siber boleh dianggap “bagai si bisu yang mendapat suara”. Mereka menulis apa-apa sahaja dan mengekspresikan segala cerita dan rasa dalam diri tanpa berfikir panjang.

5.4.7 Persekitaran

Sebenarnya, faktor persekitaran merupakan satu faktor yang membuatkan umum, melakukan pencemaran tanpa mereka sedari. Ini kerana, kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat sendiri. Seperti yang kita tahu, Malaysia terbentuk daripada struktur kaum yang berbilang. Tiga kaum utama yang mendominasi adalah Melayu, Cina dan India.
Walaupun cuma tiga kaum yang terbesar, namun, bayangkan apa yang mungkin berlaku apabila tiga jenis bahasa yang berlainan dicampuradukkan? Ibaratnya seperti, mencampurkan asam pedas, sup dan kari dalam satu kawah yang sama. Akibatnya? Teruk. Walau bagaimanapun, tidak seharusnya mana-mana pihak menyalahkan sesama sendiri atau menuding jari ke atas satu sama lain. Ini kerana hidup bermasyarakat yang telah dibina sejak wujudnya negara Malaysia ini bermaksud masyarakat perlu saling bertolak ansur dan berkerjasama. Penggunaan bahasa, atau perkataan malah istilah daripada bahasa kaum lain adalah tidak salah sama sekali, malah ia mampu melambangkan persepaduan dan kesepakatan. Cuma, biarlah berpada-pada dan kena pada tempatnya.

Jenis-jenis pencemaran bahasa di alam siber

5.3.1 Bahasa rojak

Bahasa rojak, menurut Kamus Dewan sendiri membawa maksud, bahasa percakapan yang bercampur aduk. Sedar atau tidak, masyarakat di Malaysia sendiri memandang enteng akan penggunaan bahasa rojak kerana ia seperti sudah menjadi satu identiti, atau gaya percakapan yang lebih bersifat Malaysia. Kenapa begitu? Kerana Malaysia sendiri yang terdiri daripada negara yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang bahasa. Penggunaan bahasa yang bercampur ini merupakan hasil daripada percantuman kaum-kaum di Malaysia sendiri.

Bayangkan dialog seperti ini, “Apek, wa dah cakap sama lu maa. Wa takmau itu barang, apa pasat lu kasi tapau juga?”

Ataupun begini,”aney, kasi angkat ini meja la. Saya mau duduk tengok. Bawak sini roti sama teh tarik.”

Dialog percakapan di atas kelihatan sudah biasa di kehidupan seharian. Inilah contoh bahasa rojak yang umum tidak langsung menyedarinya.

Dialog pertama, percampuran antara dialek percakapan bangsa Cina dalam bahasa Melayu. Perkataan Apek, Wa, Lu tiada dalam bahasa Melayu. Malah penggunaan tatabahasa yang lintang-pukang seperti ‘itu barang’ yang sepatutnya, ‘barang itu’.

Dialog yang kedua, percampuran bahasa Melayu dengan dialek kaum India di Malaysia. Perkataan Aney bukanlah satu perkataan Melayu. Malahan, susunan kata ‘kasi angkat ini meja’ sepatutnya menjadi ‘tolong angkat meja ini’. ‘Bawak sini roti sama teh tarik’ sepatutnya ‘bawakan saya roti dan teh tarik’. Namun, umum sudah lali dengan penggunaan yang bercampur baur ini.

5.3.2 Bahasa SMS

Bahasa SMS, satu bahasa atau gaya yang masyarakat gunakan dalam menghantar mesej ringkas kepada seorang yang lain. SMS atau nama lainnya, “Short Messaging System” atau Sistem Pesanan Ringkas, merupakan satu kaedah komunikasi yang lebih canggih dan lebih digemari oleh golongan muda. Ini kerana ia lebih mudah, lebih cepat dan lebih bersifat mesra pengguna.

Maharam Mamat (2009), dalam blognya menulis, bahawa bahasa SMS adalah satu bahasa kod, di mana ia sama seperti kod BRAILLE untuk orang cacat penglihatan dan dan kod MORSE untuk telegraf. Maka, kod SMS adalah untuk komunikasi tulisan melalui telefon bimbit.

Menurutnya lagi, terdapat 10 kategori bahasa SMS, iaitu:-
1) Lazim atau perkataan yang telah diterima pakai dalam dokumen atau penulisan rasmi serta dirakamkan dalam kamus. Contohnya, sungai menjadi sg, kampong menjadi kg.
2) Pengguguran huruf vokal dalam perkataan, samaada sukukata awal atau akhir, serta huruf konsonan. Sebagai contoh, makan menjadi mkn, sekolah menjadi skola.
3) Akronim, atau perkataan yang dipendekkan dengan mengambil huruf awal atau sukukata awal dan digabungkan menjadi perkataan. Contohnya, UKM iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia atau MAIS iaitu Majlis Agama Islam Selangor.
4) Gabungan sukukata beberapa perkataan yang digabungkan seperti pawagam yang dijadikan singkat daripada perkataan asalnya panggung wayang gambar.
5) Perkataan kata ganda yang didapati dalam bahasa SMS seperti kadang-kadang menjadi kdg2, sama-sama menjadi sma2.
6) Perkataan yang berdasarkan kepada kolokial, iaitu ejaan dan bunyi yang lazimnya digunakan dalam bahasa lisan seperti ambil menjadi amek, mereka menjadi dorang, naik menjadi nek.
7) Perkataan melampau yang dieja dengan gaya tersendiri seperti kerja menjadi kejer, gila menjadi gilew.
8) Singkatan yang diMelayukan seperti babai yang pasa asalnya adalah bye-bye, ‘aku kol ko later’ yang sepatutnya ‘aku telefon kau nanti’.
9) Perkataan yang membawa makna baru dalam bahasa komunikasi tidak rasmi seperti ‘ohh bapak terer’.
10) Perkataan yang menggunakan simbol yang menggambarkan bunyi dan perasaan seperti muahh untuk mencium, waa untuk menangis, hmmm..untuk berfikir.
Bahasa SMS memang memudahkan penggunanya dalam berkomunikasi namun, apabila telah disalahgunakan, ia boleh memudaratkan dan merosakkan.

5.3.3 “Broken language”
“Broken Language” sebenarnya merupakan satu istilah pada asalnya “Broken English”. Ia merujuk kepada kesalahan tatabahasa dalam bahasa Inggeris dan penggunaan bahasa Inggeris yang tidak formal masyarakat bukan Inggeris. Malah, Shakespeare sendiri pernah menggunakan istilah “Broken English” yang dipetik dalam perkataannya, “ Breake thy mind to me in broken English “.
Akira Nambara juga menyatakan dalam International Herald Tribune, bahawa, “English is the international language. Or, I should say, broken English is the international language” yang membawa maksud penggunaan “Broken Language” yang bersifat universal, di mana-mana sahaja (2008).
Menurut pendapat seorang lagi penulis di Internet, Harvey Milk, “Broken Language” merupakan satu bahasa percakapan yang diguna tanpa mempunyai semua perkataan yang diperlukan untuk membentuk sepotong ayat. Namun, tidak bermakna tanpa perkataan-perkataan yang hilang ini, ayat tersebut tidak boleh difahami (2008).
Jadi, penggunaan bahasa ini dalam alam siber adalah semakin ketara. Seperti contoh ayat di bawah.
“I like guy store. He cute.”
Ayat di atas sepatutnya menjadi “I like that guy from the store. He is cute.”
“Go buy something. Eat. ”
Ayat boleh menjadi lebih baik sekiranya “You have to go and buy something to eat.”
Penggunaan “Broken English” dalam kalangan masyarakat Malaysia menjadi semakin berleluasa dan kadang kala dianggap aneh sekiranya ayat yang betul dari segi tatabahasa digunakan dalam kehidupan seharian.
5.3.4 Bahasa lucah
Bahasa lucah juga merupakan salah satu pencemaran bahasa di alam siber yang sering digunakan oleh pengguna alam maya. Penggunaan bahasa ini boleh membuatkan seseorang berasa segan dan malu untuk membaca sesuatu penulisan samaada di blog dan di laman sosial.
Ini boleh menunjukkan bahawa penggunaan bahasa lucah ini semakin berleluasa digunakan di alam siber ini. Antara perkataan bahasa lucah yang sering digunakan adalah “Pantat ko” , “Wakluu”, “Kasi potong itu telor!” dan sebagainya. Terasa malu untuk menyebutnya bukan? Jadi penggunaan bahasa lucah ini perlu disekat agar ia tidak akan mempengaruhi generasi muda untuk menggunakan bahasa ini sebagai salah satu bahasa komunikasi di alam siber.
5.3.5 Istilah remaja

Istilah remaja merujuk kepada penggunaan bahasa dalam kalangan remaja yang menggunakan bahasa mereka sendiri semasa berkomunikasi di antara remaja. Penggunaan istilah seperti sengal, poyo, senget, der, belo dan sebagainya seperti sudah menjadi makanan ruji dalam percakapan mereka seharian.

5.3.6 Emotikon
Emotikon ialah ikon atau simbol tertentu yang mewakili pelbagai ekspresi wajah atau emosi yang dibentuk daripada kombinasi tanda baca dan huruf tertentu yang terdapat pada papan kekunci komputer atau telefon mudah alih.
Ada beberapa emotikon umum yang sering digunakan dalam komunikasi siber ini. Contohnya seperti yang dipaparkan dalam Jadual 1.
Jadual 1 Emotikon
Emotikon Makna Emotikon Makna
:-) Gembira :-P Mengejek
:-( Sedih ;-) Bergurau atau kenyit mata
:-o Terkejut :-|| Marah
:’( Menangis :-| Bosan atau tidak peduli
:-D Ketawa |-o Menguap

Emotikon tersebut umumnya terdiri daripada tiga bahagian wajah, yang mewakili bahagian mata (tanda titik bertindih atau titik koma), hidung (tanda pembuka kurungan, penutup kurungan), dan mulut (tanda pembuka kurungan, penutup kurungan, atau huruf tertentu).
Selain itu, muncul pula kepelbagaian emotikon yang bukan sahaja menggambarkan ekspresi wajah manusia, tetapi juga bentuk lain, seperti haiwan, bunga, simbol ucapan tertentu, dan ekspresi perasaan (cinta, sayang atau marah).

5.3.7 Kaomoji
Kaomoji pada peringkat awalnya, merupakan emotikon yang berkembang dalam komunikasi siber di Jepun. Tidak seperti emotikon lainnya, kaomoji cenderung lebih mudah difahami oleh penutur kerana menggunakan tanda baca atau huruf yang sangat umum.
Walau bagaimanapun, kaomoji tetap berfungsi sebagai medium komunikasi yang akan mewakili ekpresi perasaan penutur yang digambarkan melalui simbol. Dalam situasi ini, penyingkatan tetap wujud dan kaomoji digunakan untuk menyatakan keadaan emosi tertentu seseorang ketika berhubung.
Jadual 2 Kaomoji.
Kaomoji Makna
(^_^) Gembira
(-_-;) Sedih atau menangis
(T_T) Merajuk atau kecewa
(^@^) Bangga atau senang hati
(-_-)y Menelefon atau minta dihubungi

Perkataan atau istilah khusus untuk mewakili perasaan, digantikan dengan simbol tertentu untuk memudahkan komunikasi kerana dunia siber itu sendiri berorientasikan imej segera, cepat dan mudah, tanpa mengambil kira kedudukan penggunaan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

5.3.8 Bahasa basahan
Menurut Kamus Dewan edisi Keempat, basahan membawa makna sesuatu perkara yang sudah menjadi kebiasaan. Malah, penggunaan perkataan basahan sendiri dalam peribahasa membawa takrifan sesuatu perkara yang sudah menjadi kebiasaan berbuat sesuatu perbuatan yang tidak baik. Biasanya, bahasa basahan yang digunakan ialah bahasa pasar, dialek, dan bahasa yang bercampur.
Jadi, dalam pencemaran bahasa di alam siber ini, bahasa basahan merupakan penggunaan bahasa seharian atau bahasa pasar yang sepatutnya merupakan satu kesalahan, tetapi masyarakat tidak lagi menganggapnya sebagai satu kesalahan kerana sudah menjadi kelaziman bagi mereka.

Sunday, June 27, 2010

Definisi Pencemaran Bahasa di alam siber

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pencemaran merupakan perbuatan mencemarkan atau mengotorkan. Bahasa pula merupakan sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia iaitu, antara satu individu dengan individu yang lain. Manakala, alam pula merupakan lingkungan yang meliputi golongan atau kumpulan orang atau hidupan yang tertentu, ataupun bidang atau lingkungan kegiatan. Ringkasnya, alam merupakan satu dunia tertentu. Menurut sumber yang sama lagi, ia menyatakan siber sebagai sesuatu yang berkaitan komputer dan internet. Jadi, secara keseluruhannya menurut Kamus Dewan, tajuk kertas kerja ini “Pencemaran Bahasa di Alam Siber” ditakrifkan sebagai perbuatan mengotorkan sistem perhubungan manusia, dalam kes ini, perhubungan sesama rakyat Malaysia sendiri, dalam lingkungan pengguna Komputer dan Internet sendiri.
Pencemaran bahasa, secara umumnya diguna pakai sebagai satu istilah, untuk menunjukkan Bahasa Melayu kita dicemari dengan perkataan-perkataan asing, menurut Rosmila, dalam penulisan di blognya. Menurutnya lagi, tiada istilah 'pencemaran bahasa' di dalam bahasa Melayu ini. Jika dilihat pada sudut slanga yang dikatakan sebagai 'pencemaran bahasa' ini, slanga ini sama sahaja seperti dialek. Maksud di sini sama seperti dialek iaitu kedua-dua ini merupakan variasi kepada satu bahasa iaitu Bahasa Melayu.