Sunday, June 27, 2010

5.0 HASIL KAJIAN

5.1 PENDAHULUAN

Kini, peranan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) serta perkembangan bidang siber sangat penting dan strategik untuk mengungkapkan pelbagai persoalan, baik yang bersifat positif mahupun negatif. Menurut Azman Ismail (2010), perkembangan tersebut merupakan sebahagian daripada realiti siber, iaitu teknologi yang menjadikan pengguna dapat berinteraksi dalam dunia atau persekitaran yang digerakkan oleh komputer. Suatu hal yang pasti, unsur yang paling ketara kepada dunia maya ialah bahasa yang digunakan ketika menulis, memberi pendapat dan komen serta bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi.
Secara umumnya, komunikasi dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu komunikasi lisan dan komunikasi tulisan. Menulis atau berkomunikasi melalui media siber merupakan satu proses penciptaan ungkapan yang pada mulanya adalah suatu dialog dalaman diri seseorang. Melalui media tersebut, seseorang itu dapat menulis atau mencurahkan apa-apa sahaja, seperti pendapat, cadangan, imaginasi dan kemarahan dengan cara yang tersendiri.Walaubagaimanapun, dalam keghairahan seseorang itu mencetuskan idea penulisannya, ada sesuatu yang seolah-olah sengaja diabaikannya, iaitu aspek penggunaan bahasa dalam penulisan, khususnya dalam media siber.
Pencemaran bahasa kian meningkat berlaku di alam maya terutamanya dalam kalangan para remaja khusunya para pelajar. Ini membimbangkan banyak pihak kerana penggunaan bahasa yang salah ketika berkomunikasi di alam siber memberi kesan kepada generasi akan datang. Penggunaan bahasa yang salah dalam komunikasi siber secara tidak langsung telah mengikis dan menghilangkan nilai estetika bahasa Melayu. Malahan, situasi ini juga turut memberikan kesan kepada penutur bukan Melayu atau penutur asing yang sedang mendalami, menyelami dan memahami bahasa Melayu, khususnya melalui alam siber.

0 comments:

Post a Comment