Monday, June 28, 2010

Soal selidik

Dalam kajian ini, kaedah soal selidik telah digunakan. Terdapat dua puluh borang soal selidik yang telah diedarkan kepada mahasiswa-mahasiswi mengikut tiga buah fakulti iaitu Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Sains dan Teknologi dan Fakulti Kejuteraan Alam Bina. Respon yang sangat memberangsangkan datang daripada mahasiswa-mahasiswi tersebut apabila menjawab soal selidik yang diberikan.
Bagi soalan pertama, berapa kerapkah penggunaan internet dalam sehari?. Hampir 65% mahasiswa-mahasiswi menjawab 8 jam sehari dan 25% menjawab sepanjang hari. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi di Universiti Kebangsaan Malaysia kerap melayari internet dalam sehari ditambah pula dengan perkhidmatan WIFI yang percuma dan ada yang berbayar. Mahasiswa-mahasiswi boleh mengakses internet dalam bilik mereka sendiri. Oleh itu, penggunaan internet di kalangan mahasiswa-mahasiswi makin meningkat dari tahun ke tahun.
Seterusnya bagi soalan kedua, apakah jenis laman sesawang yang sering dilayari di internet?. Sebanyak 50% menjawab melayari laman sosial seperti facebook, Friendster, Hi5, Tagged dan sebagainya. Manakala sebanyak 45% menjawab melayari e-mail. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi banyak menghabiskan masa mereka dengan melayari laman sosial. Justeru itu, mahasiswa-mahasiswi banyak menggunakan internet untuk melayari laman sosial daripada mencari bahan ilmiah.
Bagi soalan ketiga pula, pernakah anda menggunakan ayat-ayat atau perkataan seperti berikut semasa melayari internet. Hasil soal selidik menunjukkan hampir 80% mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa sms semasa melayari internet dan 60 % mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa rojak semasa melayari internet. Hal ini menunjukkan bahawa, kebanyakan mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa sms semasa melayari laman sosial kerana menjimatkan masa mereka. Oleh itu, bahasa boleh menjadi rosak jika salah penggunaanya.
Seterusnya bagi soalan keempat, laman sosial penyumbang terbesar kepada pencemaran bahasa. Sebanyak 65 % setuju dan 25% sangat setuju laman sosial penyumbang terbesar kepada pencemaran bahasa. Hal ini menunjukkan bahawa pencemaran bahasa banyak terjadi di laman sosial. Justeru itu, mahasiswa-mahasiswi perlu peka dengan masalah pencemaran bahasa di alam siber ini.
Bagi soalan kelima, rakan sebaya sebagai punca utama penyumbang utama kepada pencemaran bahasa. Sebanyak 45% bersetuju dan 35% tidak pasti mengenai rakan sebaya sebagai punca utama penyumbang utama kepada pencemaran bahasa. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi banyak terpengaruh dengan rakan sebaya semasa menulis di dalam laman sosial. Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi perlu mempunyai pendirian dalam diri mereka.
Seterusnya bagi soalan keenam, menjimatkan masa sering menjadi alasan bagi pengguna untuk menulis bahasa rojak dan bahasa sms di alam siber. Sebanyak 50% sangat setuju dan 50% bersetuju menjimatkan masa sering menjadi alasan bagi pengguna untuk menulis bahasa rojak dan bahasa sms di alam siber. Hal ini menunjukkan bahawa sebanyak 100% mahasiswa-mahasiswi menggunakan bahasa rojak dan bahasa sms kerana menjimatkan masa. Oleh itu, inilah punca utama mengapa berlakunya pencemaran bahasa di alam siber.
Bagi soalan ketujuh, kurangnya penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar UKM di alam siber. Sebanyak 40% bersetuju manakala 25% tidak pasti iaitu kurangnya penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar UKM di alam siber. Hal ini menunjukkan bahawa kurangnya penguasaan bahasa juga menjadi faktor kepada berlakunya pencemaran bahasa di alam siber.
Bagi soalan kelapan, sikap pelajar yang tidak ambil peduli dalam penggunaan bahasa asalkan mesej dapat disampaikan dengan jelas. Sebanyak 65% sangat setuju dan 35% besetuju bahawa sikap pelajar yang tidak ambil peduli dalam penggunaan bahasa asalkan mesej dapat disampaikan dengan jelas. Tuntasnya, mahasiswa-mahasiswi sepatutnya mengubah sikap tidak ambil peduli tersebut kepada sikap bertanggungjawab terhadap bahasa ibunda kita.
Seterusnya bagi soalan kesembilan, pengguna tidak mengendahkan pencemaran bahasa kerana kurangnya pengetahuan terhadap undang-undang yang telah dikuatkuasakan. Sebanyak 50% bersetuju manakala 25% tidak pasti iaitu pengguna tidak mengendahkan pencemaran bahasa kerana kurangnya pengetahuan terhadap undang- undang yang telah dikuatkuasakan. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi mengetahui mengenai pencemaran bahasa di alam siber tetapi mereka tidak ambil peduli mengenai masalah tersebut. Justeru itu, mahasiswa mahasiswa perlu menjadi contoh tauladan kepada masyarakat luar kerana mereka adalah orang yang berpelajaran.
Akhirnya, bagi soalan kesepuluh, alam siber di salahgunakan demi kepentingan peribadi. Sebanyak 45% tidak pasti dan 20% bersetuju manakala 20% tidak setuju alam siber disalahgunakan demi kepentingan peribadi. Impaknya di sini, alam siber bukanlah tempat untuk digunakan bagi tujuan peribadi bagi sesetengah pihak.

0 comments:

Post a Comment