Sunday, June 27, 2010

Definisi Pencemaran Bahasa di alam siber

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pencemaran merupakan perbuatan mencemarkan atau mengotorkan. Bahasa pula merupakan sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia iaitu, antara satu individu dengan individu yang lain. Manakala, alam pula merupakan lingkungan yang meliputi golongan atau kumpulan orang atau hidupan yang tertentu, ataupun bidang atau lingkungan kegiatan. Ringkasnya, alam merupakan satu dunia tertentu. Menurut sumber yang sama lagi, ia menyatakan siber sebagai sesuatu yang berkaitan komputer dan internet. Jadi, secara keseluruhannya menurut Kamus Dewan, tajuk kertas kerja ini “Pencemaran Bahasa di Alam Siber” ditakrifkan sebagai perbuatan mengotorkan sistem perhubungan manusia, dalam kes ini, perhubungan sesama rakyat Malaysia sendiri, dalam lingkungan pengguna Komputer dan Internet sendiri.
Pencemaran bahasa, secara umumnya diguna pakai sebagai satu istilah, untuk menunjukkan Bahasa Melayu kita dicemari dengan perkataan-perkataan asing, menurut Rosmila, dalam penulisan di blognya. Menurutnya lagi, tiada istilah 'pencemaran bahasa' di dalam bahasa Melayu ini. Jika dilihat pada sudut slanga yang dikatakan sebagai 'pencemaran bahasa' ini, slanga ini sama sahaja seperti dialek. Maksud di sini sama seperti dialek iaitu kedua-dua ini merupakan variasi kepada satu bahasa iaitu Bahasa Melayu.

0 comments:

Post a Comment